Selasa, 31 Ogos 2010

Hujjatul Islam (Imam Ghazali)

IMAM AL GHAZALI

Nama sebenar Al-Ghazali ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali. Beliau lebih dikenali sebagai Imam al-Ghazali. Beliau dilahirkan pada 450 H atau 1058 M di sebuah kampung bernama Ghazalah yang terletak di Thus, Khurasan Iran. Beliau lebih dikenali sebagai Abu Hamid al-Ghazali kerana nama puteranya Abu Hamid dan juga mengambil sempena nama ‘Ghazalah’ tempat kelahirannya. Ayah Imam al-Ghazali, Muhammad, adalah seorang penenun dan pemintal benang bulu biri-biri. Beliau merupakan seorang yang sangat warak dan kuat beribadat. Ayah Imam al-Ghazali sangat mengambil berat tentang pendidikan al-Ghazali dan seorang lagi adiknya yang bernama Ahmad.

Ayah Imam al-Ghazali meninggal dunia ketika beliau dan adiknya masih kecil lagi. Dalam surat wasiatnya, al-Ghazali dan adiknya diserahkan kepada seorang sahabat karib ayahnya untuk diberi pelajaran. Beliau dan adiknya telah diberikan pendidikan yang secukupnya. Walau bagaimanapun, pelajaran mereka terbantut seketika setelah harta yang ditinggalkan habis.

* TAHUKAH ANDA? - Al-Ghazali diberikan gelaran ‘Hujjatul Islam’ kerana beliau mempertahankan falsafahnya yang berlandaskan ajaran Islam. Beliau meletakkan ajaran agama Islam sebagai juru pandu kepada kebebasan berfikir.

Atas cadangan sahabat ayahnya itu, al-Ghazali dan adiknya kemudian belajar di sebuah sekolah yang disediakan oleh Perdana Menteri ketika itu yang bernama Nizamul Mulk. Sekolah ini disediakan dengan percuma dan terletak di Thus. Nizamul Mulk adalah seorang Perdana Menteri yang terkenal ketika itu dan beliau sangat cinta akan ilmu pengetahuan. Pendidikan dan Kerjaya Al-Ghazali seorang pelajar yang cerdik, rajin serta beliau mudah menerima pelajaran daripada guru-gurunya. Di sekolah tersebut, beliau belajar ilmu fikah daripada Razaqani Ahmad dan ilmu tasawuf daripada Yusuf an-Nassaj, seorang ahli sufi yang terkenal.

Al-Ghazali belajar di situ sehingga berusia lapan belas tahun. Al-Ghazali sentiasa haus akan ilmu pengetahuan. Setelah dua tahun berada di Thus, beliau berangkat menuju ke Naisabur. Naisabur ketika itu terkenal dengan sebuah universiti, iaitu Universiti Nizamiyah. Di universiti ini, beliau bertemu dengan Imam al-Haramain Abul Ma’ali. Imam al-Hara
main ini adalah ulama yang terkenal ketika itu. Beliau pernah mengajar dan memberi fatwa di Makkah dan Madinah. Oleh sebab itulah beliau digelar ‘Imam al-Haramain’ yang bermaksud ‘Imam dari dua kota suci’.

Imam al-Haramain juga seorang pengarang dan pernah menulis beberapa buah kitab yang terkenal. Beliau telah berguru dengan Imam al-Haramain. Al-Ghazali mempelajari ilmu falsafah selain yang berkaitan dengan agama Islam. Imam al-Haramain kagum dengan kegigihan al-Ghazali belajar, kepintaran dan ketajaman fikiran al-Ghazali. Ketika inilah juga al-Ghazali mula belajar menulis. Imam al-Haramain tidak menganggap al-Ghazali sebagai anak muridnya lagi tetapi sebagai rakan seperbincangan.

* Al-Ghazali tidak pernah jemu belajar dan membaca.

Ramai orang menganggap bahawa al-Ghazali mampu menyaingi gurunya Imam al-Haramain dalam bidang keilmuan. Walau bagaimanapun, al-Ghazali tetap menghormati gurunya itu dan tidak mudah lupa diri. Imam al-Haramain sendiri memang menghormati ketinggian ilmu al-
Ghazali. Oleh sebab itu, beliau telah melantik al-Ghazali menjadi pensyarah di Universiti Nizamiyah. Apabila guru yang disayangi oleh beliau itu meninggal dunia pada tahun 1085 M, Perdana Menteri Nizamul Mulk telah melantik al-Ghazali sebagai Rektor atau Naib Canselor universiti tersebut. Ketika itu umur al-Ghazali baru 29 tahun.

Perdana Menteri Nizamul Mulk memang mengambil berat tentang ilmu pengetahuan. Beliau sering mengikuti perkembangan diri al-Ghazali. Oleh sebab beliau menghormati dan mengkagumi ketinggian ilmu al-Ghazali, beliau mahu al-Ghazali berada hampir dengan beliau. Nizamul Mulk telah memanggil al-Ghazali datang ke Baghdad. Ketika itu, Baghdad merupakan sebuah pusat perkembangan ilmu pengetahuan yang sangat terkenal.

Perdana Menteri Nizamul Mulk melantik al-Ghazali menjadi profesor di sebuah universiti yang didirikan oleh beliau di Baghdad. Ketika itu, al-Ghazali berumur 33 tahun. Bermula dari situ, Perdana Menteri Nizamulk Mulk menjadi penaung kepada kegiatan ilmu al-Ghazali. Tidak cukup setakat itu, Nizamul Mulk kemudian mengajak al-Ghazali untuk tinggal bersama beliau di Muaskar, tempat kediaman beliau dan menjadi Penasihat Agung kepada Perdana Menteri. Beliau juga dikehendaki memberi ceramah kepada para pembesar dan cendekiawan-cendekiawan Islam setiap dua minggu.

The End Part 1

1 ulasan:

test

test