Selasa, 8 Februari 2011

Maulid Nabi

Assalaamualaikum dan salam hormat.

Pada tarikh 26hb. Februari, 2010 bersamaan 12 Rabi’ul awal adalah tarikh diputerakan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam. Tarikh yang sangat diingati oleh sekelian orang beriman, kerana telah dzahir kebajikan yang banyak lantaran dzahirnya Baginda Sallallahu alaihi wasallam ke dunia.

Sesungguhnya orang yang beriman dengan sebenar-benarnya sentiasa menanti-nanti tarikh keramat ini. Ia adalah satu dari tarikh keramat bahkan boleh dikatakan tiada yang terlebih keramat melainkan tarikh diputerakan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wassallam. Nabi penutup segala Nabi, Nabi yang mengembalikan manusia kepada Tauhid setelah sekian lama manusia terpinar dengan akal yang gagal dipergunakan dengan sempurna.

Kasih sayang kita kepada Nabi Muhammad tiada taranya. Bahkan Nabi telah berkata seseorang hanya dikatakan benar-benar beriman apabila menyintai Baginda melebihi diri sendiri. Betapakah kita tiada kasih kepada orang yang mengeluarkan kita dari kegelapan kepada cahaya.

Orang yang paling membenci Nabi adalah Abu Lahab. Abu Lahab adalah bapa saudara Nabi sendiri. Dia membenci Nabi kerana membawa ajaran Tauhid yang menghancurkan ajaran keberhalaan. Abu Lahab sangat tercela bahkan kemuncak segala kecelaan hingga ALLah Taala mencelakan kedua tangannya.

Setelah setahun meninggalnya Abu Lahab, al-Abbas saudaranya bemimpi bertemu dengan Abu Lahab. Bertanyalah al-Abbas, apa halnya? Berkata Abu Lahab di dalam neraka, direngankan baginya di dalam neraka tiap-tiap malam isnin, dan menghisap ia akan jarinya keluar air, kerana memerdekakan ia akan hambanya bernama Thuaibah, kerana sangatlah suka ia apabila mendengar berita kelahiran junjungan RasuluLLah.

Abu Lahab seorang yang kafir dan seorang yang amat memusuhi Nabi. Namun ALLah Taala memberikan sedikit kelegaan baginya dengan meminum air dari jari-jarinya lantaran suka hatinya apabila mendengar berita kelahiran Nabi. Telah maklum bahawa panas neraka delapan puluh kali dari panasnya api di dunia.

ALLah Taala telah mencela Abu Lahab. Tiada yang lebih buruk cela daripa cela murka ALLah Taala. Namun Abu Lahab yang tercela itu sangat suka hatinya dengan kelahiran Nabi. Maka betapalah kita yang beriman dan mengaku kasihkan Nabi?

Orang-orang soleh dan sufi, dan muhaqqiqin lampau mendzahirkan kecintaan kepada Nabi dengan membanyakkan selawat, membanyakkan berbuat kenduri menjamu sekelian fakir miskin. Dan lagi bercerita dan meriwatkan mereka akan hal peri kehidupan Nabi dan peri akhlaknya yang mulia. Tiadalah dapat ditolak oleh akal dan kewajaran tentang besarnya fadhilat mengadakan maulid bagi Nabi Sallallahu alaihi wasallam, bahkan Mala’ikat berkeliling dan mengucapkan doa bagi mereka.

Hadith Nabi Sallallahu alihi wasallam adalah sumber kedua Islam. Hadith penjelas atau memperincikan al-Quran. Hadith adalah hakikatnya Firman ALLah yang dituturkan Nabi hanya melalui susunan bahasa Nabi sendiri. Apakah halnya kita mengaku cintakan Nabi namun mengabaikan Hadith? Ulama soleh dan sufi, dan muhaqiqin tidak tidur semalam suntuk ketika maulidnya Nabi kerana membaca Hadith, yang penuh pengajaran dan pendidikan. Imam Malik disengat kala jengking tatkala membacakan Hadith kepada murid-muridnya namun ditahankannya demi memuliakan Hadith Nabi Sallallahu alaihi wasallam.

Mengadakan maulid dan membaca marhaban seperti yang dilakukan sekelian ramai orang adalah bida’ah. Namun bukanlah ia bida’ah dholalah melainkan bida’ah hasanah. Dan tidaklah harus dikatakan secara borong setiap bida’ah apatah lagi mengadakan maulid dikatakan bid’aah masuk neraka. Mengadakan maulid, berzanji, bersedekah, berselawat, membaca al-Quran dan lain-lain dengan qasad mencari redha ALLah Taala tidaklah diterima akal akan membawa ke neraka.

Apakah dalil lagi yang dimahukan untuk menolak mengadakan maulid. Membida’ahkan perbuatan menunjukkan syukur kepada ALLah Taala yang mengeluarkan manusia dari kegelapan dengan dzahirnya Nabi, amatlah tidak wajar. Umat Islam dituntut wajib melaksanakan ajaran Nabi, dan itulah yang sebenar-benar tuntutan. Namun fikiran yang jernih dan nurani yang bercahaya menggamit cinta. Cinta adalah perasaan hati yang tidak mampu dinafikan. Adalah janggal sekali apabila dikatakan menyintai Nabi namun tiada merasakan jizbah hari maulidnya Nabi.

Sayyidina Umar al-Khattab bersantai-santai dengan isterinya pada suatu hari. Tiba-tiba ia ketawaa terbahak-bahak dan seketika itu juga ia menangis seperti anak kecil. Pelik dan hairanlah isterinya lalu bertanya mengapa demikian halnya. Berkata Sayyidina Umar, pada suatu ketika dahulu sebelum Islam dia dan isterinya membuat patung berhala dari tepung. Dan keduanya menyembah patung tepung itu. Dan setelah disembah lalu patung tepung itu dimakan. Dan berkata Umar lagi sebab ia menangis tersedu-sedu ialah hibanya hati kerana mengenangkan RasuluLLah telah pergi meninggalkan dirinya juga umat manusia…

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

test

test