Memaparkan catatan dengan label Kisah Nyata. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Nyata. Papar semua catatan

Jumaat, 5 November 2010

Umar Abdul Aziz - Biografi


Kedudukan beliau:

Salah seorang Tabiin yang terhormat. Beliau digelarkan dengan gelaran Khulafa' Ar-Rasyidin yang kelima kerana beliau memerintah sama sebagaimana pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin.

Beliau memegang teraju pemerintahan selepas Sulaiman bin Abdul Malik. Muhammad bin Ali bin Al-Husin rahimahullah berkata tentang beliau: "Kamu telah sedia maklum bahawa setiap kaum mempunyai seorang tokoh yang menonjol dan tokoh yang menonjol dari kalangan Bani Umaiyyah ialah Umar bin Abdul Aziz, beliau akan dibangkitkan di hari kiamat kelak seolah-olah beliau satu umat yang berasingan."

Kehidupan beliau menuntut ilmu:

Umar bin Abdul Aziz menuntut ilmu sejak beliau masih kecil, beliau sentiasa berada di dalam majlis ilmu bersama-sama dengan orang-orang yang pakar di dalam bidang fekah dan juga ulama-ulama. Di dalam usia beliau, beliau pernah memegang teraju pemerintahan di Madinah beberapa ketika.

Pelantikan beliau sebagai Khalifah:

Beliau dilantik menjadi Khalifah selepas kematian Sulaiman bin Abdul Malik tetapi beliau tidak suka kepada pelantikan tersebut. Lalu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang. Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid. Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w kemudian beliau berkata: "Wahai sekalian umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa meminta pandangan daripada aku terlebih dahulu dan bukan juga permintaan daripada aku serta tidak dibincangkan bersama dengan umat Islam. Sekarang aku membatalkan baiah yang kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang Khalifah yang kamu reda. Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: Kami telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga reda kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan. Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, zuhud

Peristiwa yang berlaku di antara beliau dengan anak beliau semasa memegang teraju pemerintahan:

Umar pulang ke rumah kemudian beliau masuk ke tempat tidurnya. Sebelum sempat beliau membaringkan badan, tiba-tiba anaknya Abdul Malik masuk berjumpa dengan beliau. Pada masa tersebut anak beliau berumur 17, kemudian anak beliau berkata: "Apakah yang kamu ingin lakukan wahai Amirul Mukminin?" Lalu Umar menjawab: "Anakku! Aku ingin menghilangkan kepenatan seketika kerana aku terasa terlalu letih." Selepas itu Abdul Malik berkata: "Kamu ingin menghilangkan kepenatan sebelum kamu mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya, wahai Amirul Mukminin?" Lantas Umar menjawab: "Anakku! Kelmarin aku telah berjaga malam untuk menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan bapa saudara kamu, Sulaiman, nanti apabila tiba waktu Zuhur, aku akan mendirikan sembahyang bersama-sama dengan orang ramai dan Insya Allah aku akan mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya." Seterusnya Abdul Malik berkata lagi: "Siapakah yang dapat menjamin bahawa kamu akan terus hidup"

Keadilan beliau:

Umar rahimahullah pernah menghimpunkan sekumpulan ahli fekah dan ulama kemudian beliau berkata kepada mereka: "Aku menghimpunkan kamu semua untuk bertanya pendapat tentang perkara yang berkaitan dengan barangan yang diambil secara zalim yang masih berada bersama-sama dengan keluarga aku?" Lalu mereka menjawab: "Wahai Amirul Mukminin! Perkara tersebut berlaku bukan pada masa pemerintahan kamu dan dosa kezaliman tersebut ditanggung oleh orang yang mencerobohnya." Walau bagaimanapun Umar tidak puas hati dengan jawapan tersebut sebaliknya beliau menerima pendapat daripada kumpulan yang lain termasuk anak beliau sendiri Abdul Malik yang berkata kepada beliau: "Aku berpendapat bahawa ia hendaklah dikembalikan kepada pemilik asalnya selagi kamu mengetahuinya. Sekiranya kamu tidak mengembalikannya, kamu akan menanggung dosa bersama-sama dengan orang yang mengambilnya secara zalim." Umar berpuas hati mendengar pendapat tersebut lalu beliau mengembalikan semula barangan yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya

Kematian beliau:

Pemerintahan beliau hanya berjalan selama beberapa ketika iaitu tidak melebihi dua tahun setengah sahaja. Kemudian beliau meninggal dunia dan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan berlaku adil kepada rakyatnya dengan menjalankan pemerintahan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Ahad, 31 Oktober 2010

Air Mata Keinsafan taubat


Taubat Seorang Raja

Dalam kegemparan terjadinya peperangan Yarmuk, salah seorang panglima Romawi yang bermana George memanggil Khalid bin Walid. Kedua orang paglima itu saling mendekat sampai kedua kepala kuda mereka saling bertemu.
Kepada Khalid, George bertanya: “Wahai Khalid, aku meminta kamu berbicara dengan jujur dan jangan berdusta sedikitpun, kerana Tuhan Yang Maha Mulia tidak pernah berdusta, dan jangan pula kamu menipuku, kerana sesungguhnya orang yang beriman itu tidak akan berdusta di sisi Allah.”

“Tanyalah apa yang ingin engkau tanyakan,” kata Khalid.

“Apakah Allah menurunkan kepada Nabi-Nya Muhammad SAW sebuah pedang dari langit kemudian diberikannya kepadamu sehingga jika kamu pakai pedang itu untuk berperang, pasti kamu akan menang?”

“Tidak!” Jawab Khalid.

“Apakah sebabnya kamu digelar dengan Saifullah (Pedang Allah)?” Tanya George.

Khalid menjawab: “Ketika Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW, seluruh kaumnya sangat memusuhinya termasuk juga aku, aku adalah orang yang paling membencinya. Setelah Allah SWT memberikan hidayah-Nya kepadaku, maka aku pun masuk Islam.Ketika aku masuk Islam Rasulullah SAW menerimaku dan memberi gelaran kepadaku “Saifullah” (pedang Allah).”
“Jadi tujuan kamu berperang ini untuk apa?” Tanya George.

“Kami ingin mengajak kamu supaya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah utusan Allah dan kami juga ingin mengajak kamu untuk mempercayai bahawa segala apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW itu adalah benar.” Jawab Khalid.

George bertanya: “Apakah hukumannya bila orang itu tidak mahu menerimanya?”

Jawab Khalid: “Hukumannya adalah harus membayar jizyah, maka kami tidak akan memeranginya.”

“Bagaimana kalau mereka tidak mahu membayar?” Tanya George.

“Kami akan mengumumkan perang kepadanya,” kata Khalid bin Walid.

George bertanya: “Bagaimanakah kedudukannya jika orang masuk Islam pada hari ini?”

Khalid menjawab: “Di hadapan Allah SWT, kita akan sama semuanya, baik dia orang yang kuat, orang yang lemah, yang dahulu mahupun yang kemudian masuk Islam.”

“Apakah orang dahulu masuk Islam kedudukannya akan sama dengan orang yang baru masuk?” Tanya George.

Khalid menjawab: “Orang yang datang kemudian akan lebih tinggi kedudukannya dari orang yang terdahulu, sebab kami yang terlebih dahulu masuk Islam, menerima Islam itu ketika Rasulullah SAW masih hidup dan kami dapat menyaksikan turunnya wahyu kepada baginda.

Sedangkan orang yang masuk Islam kemudian tidak menyaksikan apa yang telah kami saksikan. Oleh kerana itu siapa saja yang masuk Islam yang datang terakhir maka dia akan lebih mulia kedudukannya, sebab dia masuk Islam tanpa menyaksikan bukti-bukti yang lebih meyakinkannya terlebih dahulu.”

George bertanya: “Apakah yang kamu katakan itu benar?”

“Demi Allah, sesungguhnya apa yang aku katakan itu adalah benar,”jawab Khalid.

George berkata: “Kalau begitu aku akan percaya kepada apa yang kamu katakan itu, mulai saat ini aku bertaubat untuk tidak lagi memusuhi Islam dan aku menyatakan diri masuk ke dalam agama Islam, wahai Khalid tolonglah ajarkan aku tentang Islam.”

Lalu Khalid bin Walid membawa George ke dalam khemahnya, kemudian menuangkan air ke dalam timba untuk menyuruh George bersuci dan mengerjakan solat dua rakaat.

Ketika Khalid bersama dengan George masuk ke dalam khemah, maka tentera Romawi mengadakan serangan besar-besaran terhadap pertahanan umat Islam.

Setelah selesai mengerjakan solat, maka Khalid bin Walid bersama dengan George dan kaum Muslimin lainnya meneruskan peperangan sampai matahari terbenam dan di saat itu kaum Muslimin mengerjakan solat Zohor dan Asar dengan isyarat sahaja.

Dalam pertempuran itu, George yang telah bergabung dengan barisan kaum Muslimin itu terbunuh, dan dia hanya baru mengerjakan solat dua rakaat bersama dengan Khalid bin Walid. Walaupun demikian, ia telah menyatakan keIslamannya dan berjanji untuk tidak akan kembali lagi kepada agama lamanya. Semoga Allah menempatkan George ke dalam golongan orang-orang yang mati syahid.Amin.

Selasa, 19 Oktober 2010

Akhlaq dan Budi Pekerti Habib Abdullah Alwi Al-Haddad

Al-Imam Al-Haddad (rahimahullah) memiliki perwatakan badan yang tinggi, berdada bidang, tidak terlalu gempal, berkulit putih, sangat berhaibah dan tidak pula di wajahnya kesan mahupun parut cacar.

Wajahnya sentiasa manis dan menggembirakan orang lain di dalam majlisnya. Ketawanya sekadar senyuman manis; apabila beliau gembira dan girang, wajahnya bercahaya bagaikan bulan. Majlis kendalian beliau sentiasa tenang dan penuh kehormatan sehinggakan tidak terdapat hadhirin berbicara mahupun bergerak keterlaluan bagaikan terletak seekor burung di atas kepala mereka.

Mereka yang menghadhiri ke majlis Al-Habib bagaikan terlupa kehidupan dunia bahkan terkadang Si-lapar lupa hal kelaparannya; Si-sakit hilang sakitnya; Si-demam sembuh dari demamnya. Ini dibuktikan apabila tiada seorang pun yang yang sanggup meninggalkan majlisnya.

Al-Imam sentiasa berbicara dengan orang lain menurut kadar akal mereka dan sentiasa memberi hak yang sesuai dengan taraf kedudukan masing-masing. Sehinggakan apabila dikunjungi pembesar, beliau memberi haknya sebagai pembesar; kiranya didatangi orang lemah, dilayani dengan penuh mulia dan dijaga hatinya. Apatah lagi kepada Si-miskin.

Beliau amat mencintai para penuntut ilmu dan mereka yang gemar kepada alam akhirat. Al-Habib tidak pernah jemu terhadap ahli-ahli majlisnya bahkan sentiasa diutamakan mereka dengan kaseh sayang serta penuh rahmah; tanpa melalaikan beliau dari mengingati Allah walau sedetik. Beliau pernah menegaskan “Tiada seorang pun yang berada dimajlisku mengganguku dari mengingati Allah”.

Majlis Al-Imam sentiasa dipenuhi dengan pembacaan kitab-kitab yang bermanfaat, perbincangan dalam soal keagamaan sehingga para hadhirin sama ada yang alim ataupun jahil tidak akan berbicara perkara yang mengakibatkan dosa seperti mengumpat ataupun mencaci. Bahkan tidak terdapat juga perbicaraan kosong yang tidak menghasilkan faedah. Apa yang ditutur hanyalah zikir, diskusi keagamaan, nasihat untuk muslimin, serta rayuan kepada mereka dan selainnya supaya beramal soleh. Inilah yang ditegaskan oleh beliau “Tiada seorang pun yang patut menyoal hal keduniaan atau menyebut tentangnya kerana yang demikian adalah tidak wajar; sewajibnya masa diperuntuk sepenuhnya untuk akhirat sahaja. Silalah bincang perihal keduniaan dengan selain dariku.”

Al-Habib (rahimahullah) adalah contoh bagi insan dalam soal perbicaraan mahupun amalan; mencerminkan akhlak junjungan mulia dan tabiat Al-Muhammadiah yang mengalir dalam hidup beliau. Beliau memiliki semangat yang tinggi dan azam yang kuat dalam hal keagamaan. Al-Imam juga sentiasa menangani sebarang urusan dengan penuh keadilan dengan menghindari pujian atau keutamaan dari oramg lain; bahkan beliau sentiasa mempercepatkan segala tugasnya tanpa membuang masa. Beliau bersifat mulia dan pemurah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ciri inilah menyebabkan ramai orang dari pelusuk kampung sering berbuka puasa bersama beliau di rumahnya dengan hidangan yang tidak pernah putus semata mata mencari barakah Al-Imam.

Al-Imam menyatakan “Sesuap makanan yang dihadiahkan atau disedekahkan mampu menolak kesengsaraan”. Katanya lagi “Kiranya ditangan kita ada kemampuan, nescaya segala keperluan fakir miskin dipenuhi, sesungguhnya permulaan agama ini tidak akan terdiri melainkan dengan kelemahan Muslimin”.

Beliau adalah seorang yang memiliki hati yang amat suci, sentiasa sabar terhadap sikap buruk dari yang selainnya serta tidak pernah merasa marah. Kalaupun ia memarahi, bukan kerana peribadi seseorang tetapi sebab amalan mungkarnya yang telah membuat Al-Imam benar-benar marah. Inilah yang ditegaskan oleh Al-Habib“Adapun segala kesalahan berkait dengan hak aku, aku telah maafkan; tetapi hak Allah sesungguhnya tidak akan dimaafkan”.

Al-Imam amatlah menegah dari mendoa’ agar keburukan dilanda orang yang menzalimi mereka. Sehingga bersama beliau terdapat seorang pembantu yang terkadangkala melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan kemarahan Al-Imam. Namun beliau menahan marahnya; bahkan kepada si-Pembantu itu diberi hadiah oleh Al-Habib untuk meredakan rasa marah beliau sehinggakan pembantunya berkata:“alangkah baiknya jika Al-Imam sentiasa memarahiku”.

Segala pengurusan hidupnya berlandaskan sunnah; kehidupannya penuh dengan keilmuan ditambah pula dengan sifat wara’. Apabila beliau memberi upah dan sewa sentiasa dengan jumlah yang lebih dari asal tanpa diminta. Kesenangannya adalah membina dan mengimarahkan masjid. Di Nuwaidarah dibinanya masjid bernama Al-Awwabin begitu juga, Masjid Ba-Alawi di Seiyoun, Masjid Al-Abrar di As-Sabir, Masjid Al-Fatah di Al-Hawi, Masjid Al-Abdal di Shibam, Masjid Al-Asrar di Madudah dan banyak lagi.

Diantara sifat Al-Imam termasuk tawaadu’ (merendah diri). Ini terselah pada kata-katanya, syair-syairnya dan tulisannya. Al-Imam pernah mengutusi Al-Habib Ali bin Abdullah Al-Aidarus. “Doailah untuk saudaramu ini yang lemah semoga diampuni Allah”

Habib Abdullah Al Haddad dimata Para Ulama

Al-Habib Ahmad bin Zain Al-Habsyi ra. seorang murid Al-Habib Abdullah Al-Haddad yang mendapat mandat besar dari beliau, menyatakan kekagumannya terhadap gurunya dengan mengatakan, ”Seandainya aku dan tuanku Al-Habib Abdullah Al-Haddad ziaroh ke makam, kemudian beliau mengatakan kepada orang-orang yang mati untuk bangkit dari kuburnya, pasti mereka akan bangkit sebagai orang-orang hidup dengan izin Allah. Karena aku menyaksikan sendiri bagaimana dia setiap hari telah mampu menghidupkan orang-orang yang bodoh dan lupa dengan cahaya ilmu dan nasihat. Beliau adalah lauatan ilmu pengetahuan yang tiada bertepi, yang sampai pada tingkatan Mujtahid dalam ilmu-ilmu Islam, Iman dan Ihsan. Beliau adalah mujaddid pada ilmu-ilmu tersebut bagi penghuni zaman ini. ”

Ahad, 17 Oktober 2010

Keberkatan Habib Abdullah Alwi Al-Haddad

Keberkatan itu lebih penting..

Disuatu saat seorang peguam/penulis di zaman Al-Habib Abdullah Alwi Al-Haddad, beliau telah menzalimi orang lain dan menzalimi dirinya. Dia tidak berlaku adil terhadap pekerjaan yang dilaksanakan.

Disaat itu juga dia menulis dengan amat banyak sehinggakan membuatkan 3 jarinya sakit umpama melecur, akibat perkara itu beliau cuba mencari penawar dan mungkin sekiranya dia duduk bersama Al-Habib Abdullah Alwi Al-Haddad jarinyadapat disembuhkan. Beliau mengadukan akan hal yang dialami itu kepada Al-Habib Abdullah Alwi Al-Haddad.

"Sesungguhnya aku tidak mampu untuk memulihkan tangan kamu." Kata Habib Abdullah Alwi al Haddad

"Engkau tidak memberi apa kebaikan pada aku, lebih baik aku pergi mencari penawar yang lain." Kata Lelaki itu

Pulanglah lelaki itu kerumah, ketika sedang tidur dia bermimpi dimatikan oleh Allah. Dia dimandikan, dikafankan, disolatkan sehingga di masukkan kedalam liang lahad maka detik-detik waktu untuk menghadapi 2 Malaikat yang pernah dijanjikan oleh Allah semakin hampir.

Ketika menghadapi 2 malaikat iaitu Munkar dan Nakir, lelaki itu ditanya dan pertanyaan itu tidak mampu dijawab olehnya. Kedua-dua malaikat ini bertugas menyeksa dan mengemukakan soalan-soalan kepada orang yang telah meninggal dunia di dalam kubur. Tidak ada seorang pun yang dapat melepaskan dirinya daripada kedua-dua malaikat ini walaupun di mana pun mereka mati.

Ketika penyeksaan bermula, kedua malaikat ini didatangi oleh satu lembaga yang bercahaya keadaannya, dan meminta supaya dihentikan penyeksaan terhadap lelaki ini.

"Apa alasan engkau untuk menghalangi dia dari diseksa??" Malaikat bertanya,

"Dia pernah bersamaku ketika hidupnya." kata lembaga itu

Terlepaslah lelaki itu dari diseksaan oleh dua malaikat Munkar dan Nakir.

Lalu lembaga tadi berpalingkan wajahnya ke arah lelaki itu, terkejutlah dia hingga membuatkan tersedar dari mimpi, bahawa lembaga itu adalah Al-Habib Abdullah Alwi Al-Haddad.

Pada saat itu jugalah dia menangis dan tidak menyangka bahawa orang yang dikatakan tidak ada manfaat kepadanya menolong ketika berhadapan dua malaikat yang amat mengerunkan.

Sewaktu berada dimasjid,beliau ditarik tangannya oleh Habib Abdullah Alwi Al-Haddad.

Sedangkan Habib Abdullah Alwi Al-Haddad adalah seorang yang buta matanya.

Lelaki itu berasa pelik.

"Masakan dia boleh melihat aku", fikir lelaki itu

Berkatalah Habib Abdullah Alwi Al-Haddad, "Sesungguhnya mimpimu malam tadi adalah benar, mungkin didunia ini aku tidak bermanfaat buat kamu, tapi aku mampu memberi manfaat pada kamu dialam baqa'."

Menangislah lelaki itu dihadapan Al-Habib Abdullah Alwi Al-Haddad dan meminta maaf atas apa yang dikatakan tempoh hari


yang diriwayatkan oleh Al-Habib Umar bin Hafiz


Habib Abdullah Al Haddad dimata Para Ulama

Al-Arifbillah Quthbil Anfas Al-Imam Habib Umar bin Abdurrohman Al-Athos ra. mengatakan, “Al-Habib Abdullah Al-Haddad ibarat pakaian yang dilipat dan baru dibuka di zaman ini, sebab beliau termasuk orang terdahulu, hanya saja ditunda kehidupan beliau demi kebahagiaan umat di zaman ini (abad 12 H)”.

Seorang guru Masjidil Haram dan Nabawi, Syaikh Syihab Ahmad al-Tanbakati ra. berkata, “Aku dulu sangat ber-ta’alluq (bergantung) kepada Sayyidi Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani. Kadang-kadang dia nampak di hadapan mataku. Akan tetapi setelah aku berintima’ (kearah) kepada Al-Habib Abdullah Al-Haddad, maka aku tidak lagi melihatnya. Kejadian ini aku sampaikan kepada Al-Habib Abdullah Al-Haddad. Beliau berkata,Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani di sisi kami bagaikan ayah. Bila yang satu ghaib (tidak terlihat), maka akan diganti dengan yang lainnya. Allah lebih mengetahui. Maka semenjak itu aku berta’alluq kepadanya.”



Sabtu, 4 September 2010

Doa Perlindungan Dari 4 Perkara


Ada sebuah doa yang diajarkan Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam. Di dalamnya terkandung permohonan agar Allah melindungi kita dari empat keburukan. Doanya berbunyi sebagai berikut:

“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari nafsu yang tidak pernah kenyang dan dari doa yang tidak dikabulkan.” (HR Muslim 4899)

Setiap muslim tentunya tidak ingin terlibat dengan keempat macam keburukan yang disebutkan di dalam doa ini.

Pertama, ilmu yang tidak bermanfaat. Ilmu yang tidak bermanfaat adalah semua jenis ilmu yang tidak mengantarkan seseorang kepada penambahan iman. Ilmu yang tidak bermanfaat justeru mendorong iman seseorang sehingga semakin lama imannya semakin menipis. Sedangkan ilmu bermanfaat ialah ilmu yang membuat seseorang menjadi semakin dekat dengan Allah. Ilmu bermanfaat akan mengantarkan seseorang untuk menjadi ingat akan kehidupan sejati kelak di akhirat. Contohnya ialah para ulul al-bab (orang-orang yang berakal) yang disebutkan di dalam Al-Qur’an sebagai berikut:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring dan mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):
“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; (QS Ali Imran ayat 190-192)

Ulul al-bab merupakan orang-orang yang menggunakan akal mereka sehingga setelah melakukan pengamatan terhadap alam sambil mengingat Allah, lalu mereka segera teringat akan kehidupan di akhirat. Sehingga mereka segera berdoa: "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” Inilah gambaran mereka yang cermat dalam memilih ilmu untuk diamalkan. Mereka sibuk dengan ilmu yang bermanfaat. Mereka sangat peduli untuk memastikan bahwa ilmu apapun yang dikejar haruslah mengantarkan mereka menjadi lebih dekat dan tunduk kepada Allah. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang segera membangkitkan ingatan akan kehidupan akhirat yang hakiki dan abadi. Mereka sangat waspada dan curiga terhadap pelbagai ilmu yang boleh mengancam keteguhan iman. Mereka sangat khawatir terhadap pelbagai ilmu yang menimbulkan keraguan akan kebenaran ajaran Allah, Din Al-Islam. Mereka waspada menghadapi ilmu yang membuat mereka lebih cinta kepada dunia dan melalaikan mereka akan akhirat.

Kedua, hati yang tidak khusyu’. Keburukan berikutnya adalah memiliki hati yang tidak khusyu’. Artinya hati yang tidak tunduk kepada Allah. Hati yang liar dan tidak bersandar kepada Allah dalam menggapai ketenteraman. Padahal ciri orang beriman ialah bila mengingat Allah hati mereka menjadi tenteram.

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (mengingati Allah).
Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. (QS Ar-Ra’d ayat 28)

Sedemikian pentingnya memiliki hati yang khusyu’ (tunduk) sehingga Allah sendiri memperingatkan kita agar waspada terhadap kekeringan atau kegersangan hati. Hal ini muncul bila orang beriman terlalu lama mengabaikan ayat-ayat Allah. Mereka sengaja membuat jarak dengan ayat-ayat Allah sehingga dengan berjalannya waktu hati menjadi tidak khusyu’ atau menjadi keras. Satu-satunya penyelesaian ialah kembali menghidupkan ingatan dan perhatian terhadap ayat-ayat Allah. Hidupkan makna ayat-ayat tersebut di dalam kehidupan nyata.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka. (QS Al-Hadid ayat 16)

Ketiga, nafsu yang tidak pernah kenyang. Ini merupakan keburukan berikutnya. Apalagi kita sedang menjalani zaman paling kelam dalam sejarah Islam. Di zaman ini begitu banyak fitnah yang tersebar, sehingga tawaran untuk menuruti hawa-nafsu bermunculan di sekeliling kita. Hampir dalam semua situasi ada peluang untuk menuruti hawa-nafsu. Maka di zaman seperti ini sangat diperlukan pengendalian diri. Sangat diperlukan kemampuan untuk memuaskan nafsu dengan cara yang sesuai mengikut syariat dan berkesan. Islam tidak datang untuk membunuh nafsu. Islam datang untuk mengendalikan hawa-nafsu. Sehingga keperluan pemuasan nafsu bukan dimatikan melainkan diarahkan agar sesuai dengan aturan syariat Allah. Dan bila hal ini dilakukan maka bukan saja seseorang terbebas dari dosa bahkan ia dapat memperoleh pahala daripada Allah atas pemenuhan hawa-nafsu yang sesuai dengan syariat Allah.

Sesungguhnya di antara sahabat Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam ada yang berkata: ”Ya Rasulullah, orang-orang kaya lebih banyak mendapat pahala, mereka mengerjakan solat sebagaimana kami mengerjakan solat, dan mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka.”

Nabi shollallahu ’alaih wa sallam bersabda: “Bukankah Allah telah menjadikan bagimu sesuatu untuk bersedekah? Sesungguhnya tiap-tiap tasbih adalah sedekah, tiap-tiap tahmid adalah sedekah, tiap-tiap tahlil adalah sedekah, menyuruh seseorang kepada kebaikan adalah sedekah, melarangnya dari kemungkaran adalah sedekah dan bersetubuhnya seorang kamu dengan isterinya adalah sedekah.” Mereka bertanya: ”Ya Rasulullah, apakah jika salah seorang di antara kami menyalurkan syahwatnya, apakah ia mendapat pahala?” Rasulullah menjawab: ”Tidakkah kamu tahu, apabila seseorang menyalurkan syahwatnya pada yang haram, dia berdosa? Demikian pula apabila disalurkannya kepada yang halal, dia mendapat pahala.” (HR Muslim 1674)

Keempat, doa yang tidak dikabulkan. Ini jelas merupakan suatu keburukan. Bayangkan, seorang muslim berdoa kepada Allah namun tidak dikabulkan. Jelas ini merupakan suatu musibah. Padahal Allah sendiri menjamin bahwa jika seseorang memohon sesuatu kepada Allah, pasti Allah akan kabulkan. Tentu ada syaratnya: pertama, memohon hanya kepada Allah, tidak kepada selainNya; kedua, penuhi segenap perintah Allah dan ketiga, beriman dengan sebenarnya kepada Allah SWT.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (QS Al-Baqarah ayat 186)

Selasa, 31 Ogos 2010

Hujjatul Islam (Imam Ghazali)

IMAM AL GHAZALI

Nama sebenar Al-Ghazali ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali. Beliau lebih dikenali sebagai Imam al-Ghazali. Beliau dilahirkan pada 450 H atau 1058 M di sebuah kampung bernama Ghazalah yang terletak di Thus, Khurasan Iran. Beliau lebih dikenali sebagai Abu Hamid al-Ghazali kerana nama puteranya Abu Hamid dan juga mengambil sempena nama ‘Ghazalah’ tempat kelahirannya. Ayah Imam al-Ghazali, Muhammad, adalah seorang penenun dan pemintal benang bulu biri-biri. Beliau merupakan seorang yang sangat warak dan kuat beribadat. Ayah Imam al-Ghazali sangat mengambil berat tentang pendidikan al-Ghazali dan seorang lagi adiknya yang bernama Ahmad.

Ayah Imam al-Ghazali meninggal dunia ketika beliau dan adiknya masih kecil lagi. Dalam surat wasiatnya, al-Ghazali dan adiknya diserahkan kepada seorang sahabat karib ayahnya untuk diberi pelajaran. Beliau dan adiknya telah diberikan pendidikan yang secukupnya. Walau bagaimanapun, pelajaran mereka terbantut seketika setelah harta yang ditinggalkan habis.

* TAHUKAH ANDA? - Al-Ghazali diberikan gelaran ‘Hujjatul Islam’ kerana beliau mempertahankan falsafahnya yang berlandaskan ajaran Islam. Beliau meletakkan ajaran agama Islam sebagai juru pandu kepada kebebasan berfikir.

Atas cadangan sahabat ayahnya itu, al-Ghazali dan adiknya kemudian belajar di sebuah sekolah yang disediakan oleh Perdana Menteri ketika itu yang bernama Nizamul Mulk. Sekolah ini disediakan dengan percuma dan terletak di Thus. Nizamul Mulk adalah seorang Perdana Menteri yang terkenal ketika itu dan beliau sangat cinta akan ilmu pengetahuan. Pendidikan dan Kerjaya Al-Ghazali seorang pelajar yang cerdik, rajin serta beliau mudah menerima pelajaran daripada guru-gurunya. Di sekolah tersebut, beliau belajar ilmu fikah daripada Razaqani Ahmad dan ilmu tasawuf daripada Yusuf an-Nassaj, seorang ahli sufi yang terkenal.

Al-Ghazali belajar di situ sehingga berusia lapan belas tahun. Al-Ghazali sentiasa haus akan ilmu pengetahuan. Setelah dua tahun berada di Thus, beliau berangkat menuju ke Naisabur. Naisabur ketika itu terkenal dengan sebuah universiti, iaitu Universiti Nizamiyah. Di universiti ini, beliau bertemu dengan Imam al-Haramain Abul Ma’ali. Imam al-Hara
main ini adalah ulama yang terkenal ketika itu. Beliau pernah mengajar dan memberi fatwa di Makkah dan Madinah. Oleh sebab itulah beliau digelar ‘Imam al-Haramain’ yang bermaksud ‘Imam dari dua kota suci’.

Imam al-Haramain juga seorang pengarang dan pernah menulis beberapa buah kitab yang terkenal. Beliau telah berguru dengan Imam al-Haramain. Al-Ghazali mempelajari ilmu falsafah selain yang berkaitan dengan agama Islam. Imam al-Haramain kagum dengan kegigihan al-Ghazali belajar, kepintaran dan ketajaman fikiran al-Ghazali. Ketika inilah juga al-Ghazali mula belajar menulis. Imam al-Haramain tidak menganggap al-Ghazali sebagai anak muridnya lagi tetapi sebagai rakan seperbincangan.

* Al-Ghazali tidak pernah jemu belajar dan membaca.

Ramai orang menganggap bahawa al-Ghazali mampu menyaingi gurunya Imam al-Haramain dalam bidang keilmuan. Walau bagaimanapun, al-Ghazali tetap menghormati gurunya itu dan tidak mudah lupa diri. Imam al-Haramain sendiri memang menghormati ketinggian ilmu al-
Ghazali. Oleh sebab itu, beliau telah melantik al-Ghazali menjadi pensyarah di Universiti Nizamiyah. Apabila guru yang disayangi oleh beliau itu meninggal dunia pada tahun 1085 M, Perdana Menteri Nizamul Mulk telah melantik al-Ghazali sebagai Rektor atau Naib Canselor universiti tersebut. Ketika itu umur al-Ghazali baru 29 tahun.

Perdana Menteri Nizamul Mulk memang mengambil berat tentang ilmu pengetahuan. Beliau sering mengikuti perkembangan diri al-Ghazali. Oleh sebab beliau menghormati dan mengkagumi ketinggian ilmu al-Ghazali, beliau mahu al-Ghazali berada hampir dengan beliau. Nizamul Mulk telah memanggil al-Ghazali datang ke Baghdad. Ketika itu, Baghdad merupakan sebuah pusat perkembangan ilmu pengetahuan yang sangat terkenal.

Perdana Menteri Nizamul Mulk melantik al-Ghazali menjadi profesor di sebuah universiti yang didirikan oleh beliau di Baghdad. Ketika itu, al-Ghazali berumur 33 tahun. Bermula dari situ, Perdana Menteri Nizamulk Mulk menjadi penaung kepada kegiatan ilmu al-Ghazali. Tidak cukup setakat itu, Nizamul Mulk kemudian mengajak al-Ghazali untuk tinggal bersama beliau di Muaskar, tempat kediaman beliau dan menjadi Penasihat Agung kepada Perdana Menteri. Beliau juga dikehendaki memberi ceramah kepada para pembesar dan cendekiawan-cendekiawan Islam setiap dua minggu.

The End Part 1

Jumaat, 6 Ogos 2010

Penciptaan Adam

Penciptaan Adam diriwayatkan sebagai satu daripada ciptaan Allah yang paling kontroversi atau paling disebut-sebut oleh makhluk Allah yang lain. Peristiwa tersebut disebut dalam al-Qur'an apabila para malaikat mempersoalkan kejadian (manusia) sebagai khalifah atau pengganti di bumi.


"Ketika Allah berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (2: 30)
Ciptaan dari tanah

Allah telah memerintahkan Malaikat Jibril turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah sebagai bahan untuk menjadikan Adam. Walau bagaimanapun, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil malah bersumpah dengan nama Allah yang dia tidak rela untuk menyerahkannya kerana kebimbangannya seperti yang dibimbangkan oleh para malaikat.

Jibril kembali setelah mendengar sumpah tersebut lalu Allah mengutuskan pula Malaikat Mikail dan kemudiannya Malaikat Israfil tetapi kedua-duanya juga tidak berdaya hendak berbuat apa-apa akibat sumpah yang dibuat oleh bumi. Maka, Allah memerintahkan Malaikat Izrail untuk melakukan tugas tersebut dan menggesa agar tidak berundur walaupun bumi bersumpah kerana tugas tersebut dijalankan atas perintah dan nama Tuhan.

Maka, Izrail turun ke bumi dan mengatakan yang kedatangannya adalah atas perintah Allah dan memberi amaran kepada bumi untuk tidak membantah yang memungkinkan bumi menderhaka kepada Allah. Menurut Ibnu Abbas, tanah bumi dan syurga digunakan untuk dijadikan bahan mencipta Adam. Tanah tersebut adalah:

* Tanah Baitulmuqaddis - kepala sebagai tempat kemuliaan untuk diletakkan otak dan akal.
* Tanah Bukit Tursina (Mesir) - telinga sebagai tempat mendengar dan menerima nasihat.
* Tanah Iraq - dahi sebagai tempat sujud kepada Allah.
* Tanah Aden (Yaman) - muka sebagai temat berhias dan kecantikan.
* Tanah telaga Al-Kautsar - mata sebagai tempat menarik perhatian.
* Tanah Al-Kautsar - gigi sebagai tempat memanis-manis.
* Tanah Kaabah(Makkah) - tangan kanan sebagai tempat mencari nafkah dan bekerjasama.
* Tanah Paris (Perancis) - tangan kiri sebagai anggota untuk melakukan istinjak.
* Tanah Khurasan (Iran) - perut sebagai tempat berlapar.
* Tanah Babylon (Iraq) - kelamin sebagai organ seks dan tempat bernafsu serta godaan syaitan.
* Tanah Tursina (Mesir) - tulang sebagai peneguh manusia.
* Tanah India - kaki sebagai anggota berdiri dan berjalan.
* Tanah Firdaus (Syurga) - hati sebagai tempat keyakinan, keimanan, dan kemahuan.
* Tanah Taif (Arab Saudi) - lidah sebagai tempat untuk mengucapkan syahadah, syukur dan doa.

Penyempurnaan

Tubuh Adam mempunyai sembilan rongga atau liang. Tujuh liang di kepala dan dua di bawah badan iaitu dua mata, dua telinga, dua hidung, satu mulut, satu dubur dan satu uretra. Lima pancaindera dilengkapkan dengan anggota tertentu seperti mata untuk penglihatan, telinga untuk pendengaran, hidung untuk pengesanan bauan, lidah untuk perasa seperti masam, masin, manis dan pahit dan kulit untuk sentuhan bagi panas, sejuk, tekanan, kelikatan dan sakit.

Ketika Allah menjadikan tubuh Adam, tanah dicampurkan dengan air tawar, masin dan hanyir beserta api dan angin. Kemudian Allah resapkan Nur ke dalam tubuh Adam dengan pelbagai "sifat". Lalu tubuh Adam digenggam dengan genggaman Jabarut dan diletakkan di dalam Alam Malakut. Tanah itu dicampurkan lagi dengan istilah wangian dan ramuan dari Nur-Sifat Allah dan dirasmi dengan "Bahrul Uluhiyah". Kemudian, tubuh tersebut dibenam dalam "Kudral 'Izzah" iaitu sifat "Jalan dan Jammal" lalu disempurnakan tubuh tersebut.

Waktu kejadian manusia tidak disebut berapa lama walaupun melalui apa cara perhitungan sekalipun seperti dalam al-Quran: "Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut..." (76:1)

Menurut keterangan ulama, tubuh Adam diselubungi dalam tempoh 120 tahun, 40 tahun di tanah yang kering, 40 tahun di tanah yang basah dan 40 tahun di tanah yang hitam dan berbau. Dari situ, Allah ubah tubuh Adam dengan rupa kemuliaan dan tertutuplah dari rupa hakikatnya. Kerana proses kejadian itu yang melalui peringkat yang "kotor", tidak hairan Malaikat dan Iblis memandang rendah akan kejadian manusia yang dicipta dari tanah.

Kemasukan roh.

Roh diperintah Allah untuk memasuki jasad Adam tetapi seperti makhluk lain, roh juga enggan, malas dan segan kerana jasad yang seperti batu. Dikatakan ruh berlegar-legar mengelilingi jasad Adam sambil disaksikan malaikat. Kemudian, Allah memerintahkan Malaikat Izrail memaksa ruh memassuki tubuh tersebut masuk ke dalam tubuh Adam. Ia memasukkannya ke dalam tubuh dan roh secara perlahan-lahan masuk hingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun. Setelah meresapi ke kepala Adam, maka berfungsilah otak dan tersusunlah urat saraf dengan sempurna. Lalu, terjadilah mata dan terus terbuka melihat tubuhnya yang masih keras dan malaikat di sekelilingnya. Telinga mulai berfungsi dan didengarnya kalimah tasbih para malaikat. Apabila roh tiba ke hidung, lalu ia bersin dan mulutnya juga terbuka. Allah mengajarkan kalimah "Alhamdulillah" yang merupakan kalimah pertama diucapkan Adam dan Allah sendiri yang membalasnya.

Kemudian, roh tiba ke dadanya lalu Adam berkeinginan untuk bangun padahal tubuhnya yang bawah masih keras membatu. Ketika itu ditunjukkan sifat manusia yang terburu-buru. Ketika roh sampai di perut, maka organ dalam dan perut tersusun sempurna dan saat itu Adam mula merasakan lapar. Akhirnya, roh meresap ke seluruh tubuh Adam, tangan dan kaki dan berfungsilah dengan sempurna segala darah daging, tulang, urat saraf dan kulit. Menurut riwayat, kulit Adam amat baik ketika itu berbanding kulit manusia di kini dan warnanya masih dapat dilihat di kuku sebagai peringatan kepada keturunan manusia.

Dengan itu, sempurnalah sudah kejadian manusia pertama dan Adam digelar sebagai "Abul Basyar" iaitu Bapa Manusia. Walau bagaimanapun, hanya Nabi Muhammad s.a.w. mendapat gelaran "Abul Ruh" atau "Abul Arwah" iaitu Bapa segala Roh.


Ciri atau berkaitan pada Nabi Adam, bapa seluruh manusia

1. Rasul Pertama di muka bumi kepada semua umat manusia.

2. Hamba terakhir dicipta olehNYA selepas Malaikat dan Jin (Jarak ciptaan antara manusia pertama dengan jin sela masa 1000 tahun).

3. Penciptaan Adam sebagai khalifah di muka bumi bagi menggantikan Jin yang memusnahkan bumi sebelum ciptaan Adam.

4. Bapa segala manusia dengan gelaran Abu Muhammad diakhirat nanti.

5. Dicipta secara lansung dari tangan Allah SWT, diberi roh dari sebahagian roh-NYA. (amaran : tangan Allah SWT tidak boleh disamakan dengan tangan manusia, kerana sifat Allah SWT bersifat majazi).

6. Dicipta selama 40 tahun dihitung sejak hari Jumaat. Ada riwayat menyatakan diciptakan di akhir waktu hari Jumaat. Sebelum ditiupkan roh, Adam dibiarkan dalam rupa tanah lumpur selama 40 tahun. Wallahu a'lam.

7. Dicipta dari segala jenis unsur tanah dan dibasahi sehingga menjadi lumpur. Izrail ditanggungjawabkan mengambil tanah yang berwarna putih, merah dan hitam di muka bumi dan membasahinya menjadi lumpur selepas Mikail meminta perlindungan dari Allah SWT.

8. Jasad Nabi Adam as yang sempurna, diumpamakan seperti tembikar atau berongga. Ini kerana Iblis memukul jasad Adam yang sempurna sebelum ditiup roh, berbunyi kosong. Boleh diumpamakan jika kita jatuh akan berbunyi 'erk' atau bunyi-bunyi kesesuaian masing-masing.

9. Roh Nabi Adam as ditiup dari kepala, kemudian bersin.Adam dan Malaikat menyambut dengan 'Alhamdullilah'. Kemudian disambut oleh Allah SWT "Yarhamukallah" (semoga Allah melimpahkan rahmat kepadamu).

10. Roh terus melalui ke mata, kemudian melihat buah-buahan disyurga. Begitulah manusia yang suka melihat perkara-perkara yang cantik dan menyeronokkkan.

11. Roh memasuki ke rongga perut, merasa lapar. Begitulah manusia yang sentiasa lapar dan tidak pernah kenyang dengan nikmat dunia.

12. Sebelum roh sampai ke kedua kaki, mendadak bangun dan mencapai buah-buahan di syurga. Begitulah manusia yang suka tergesa-gesa dalam bertindak.

13.Sempurna roh, Nabi Adam as, perkataan pertama diajar ialah memberi salam kepada para malaikat yang sedang sujud kepadanya. Salam baginda disambut "Wa'alaikassalaam wa rahmatullahi wa barakaatuh".

14. Diajar semua perkara yang meliputi perkara-perkara yang besar sehingga perkara-perkara yang seni dan halus. Kesimpulan segala perkara yang meliputi 99 zat Allah SWT.

15. Manusia pertama dan keturunannya terjamin sebagai makhluk tertinggi darjatnya di sisi Allah SWT sehingga kiamat selagi beriman kepadaNYA. Malaikat akan terus tunduk sehingga kiamat.

16. Bahu kanan Nabi Adam as ditepuk oleh Allah SWT dan keluarlah anak cucunya berkulit putih umpama butiran mutiara (golongan syurga). Bahu kiri Adam ditepuk oleh Allah SWT dan keluarlah anak-cucunya yang berkulit hitam seperti arang (golongan neraka.) Wallahu a'lam.

17. Nabi Adam as memohon anak cucunya disama ratakan kejadiannya dan tiada cacat cela dan kekayaannya. Allah SWT berfirman, "Aku suka sekali kalau mereka bersyukur."

18. Manusia pertama yang dibenci oleh Iblis Laknatullah. Iblis makhluk pertama yang menggunakan teori logik perbandingan, ketika enggan sujud kepada Adam as kerana kelebihannya dari api.

19. Selepas sempurna penciptaannya diarahkan memasuki dan mendiami syurga selama 100 tahun, ada riwayat yang menyatakan selama 60 tahun. Wallahu a'lam.

20. Di syurga, Nabi Adam as suka berjalan bersendirian, kemudian diciptakan Hawa dari rusuk kanan ketika Nabi Adam as sedang tidur. Maka wanita mempunyai kedudukan tinggi yang perlu mendampingi lelaki dengan pemikiran-pemikiran yang benar dan sihat. Kerana Hawa diciptakan Adam as ketika waktu tidur, makanya, adalah amat wajib setiap suami dan isteri bermesra dan menghasilkan keturunan pada waktu sebelum tidur. Kerana Hawa dicipta dari rusuk kanan yang bengkok, maka setiap suami wajib menerima kekurangan pada isteri (wanita) dan cuba meluruskan semampu mungkin (mengimankannya) bukan mematahkannya (perceraian dan penghinaan).

21. Disyurga, Hawa terpedaya dengan hasutan Iblis yang menyerupai ular yang begitu cantik, kemudian Hawa mengajak Adam memakan buah tin (pohon larangan). Makanya kaum wanita perlu bimbingan kaum lelaki. Manakala kaum lelaki perlu beriman terlebih dahulu sebelum membimbing wanita. Saling lengkap-melengkapi antara Adam dan Hawa.

22. Larangan telah dilakukan, terlucut segala busana syurga yang dipakai oleh Adam dan Hawa, ada riwayat Adam menangisi kekesalannya di syurga selama 70 tahun sebelum diarahkan turun ke bumi. Wallahu a'lam.

23. Aurat Nabi Adam as dan Hawa yang telah terbuka, ada riwayat menyatakan hanya ditutupi daun-daun syurga dan riwayat lain ditutup dengan cahaya. Wallahu a'lam.

24. Nabi Adam as diarahkan turun ke bumi pada hari Jumaat. Tanah pertama yang dipijak oleh Adam as di muka bumi adalah tanah yang bernama duhna yang terletak di antara Mekah dan Thaif.

25. Ada riwayat menyatakan Nabi Adam as diturunkan di tanah India, Hawa di Jeddah, Iblis yang menghasut di Dustimyan (beberapa batu dari Basrah), dan ular yang menggoda Hawa di Ashbihan ( Afghanistan).

26. Ada riwayat menyatakan Nabi Adam as diturunkan di Safa dan Hawa di Marwah. Ada riwayat menyatakan Adam turun bersama Hajar al-Aswad dan dedaunan syurga dan ditaburkan di tanah India.

27. Nabi Adam as turun ke bumi dibekali dengan kemahiran-kemahiran dan buah-buahan dari syurga. Diriwayatkan buah-buahan di bumi adalah berasal dari syurga cuma kelazatannya berkurangan dari yang asalnya.

28. Nabi Adam as juga turun bersama bijiran gandum, sebagai makanan utama. Jibril mengajar Adam as menanam, menuai, digiling, dimasak dan diadun.

29. Manusia paling tampan di dunia sehingga kiamat. Disahkan oleh hadis Rasullah SAW, ketampanan Nabi Yusuf as adalah separuh ketamapanan Nabi Adam as.

30. Manusia paling tinggi di dunia sehingga kiamat, diriwayatkan setinggi 60 hasta dan kelebaran badannga 7 hasta. Disahkan tiada lagi manusia yang akan melebihi ketinggian Nabi Adam AS sehingga kiamat kecuali Iblis.

31. Manusia pertama yang menggunakan bulu biri-biri sebagai pakaian.

32. Nabi Adam as wafat ketika berumur 1000 tahun. Wallahu a'lam.

33. Bapa pertama yang menangisi kematian anaknya (tragedi Qabil dan Habil) , diriwayatkan selama 40 tahun kehibaannya.

34. Malaikat mengajar anak cucu Adam menguruskan jenazah melalui peristiwa kewafatan Nabi Adam as dari memandikan, mengkafani, menyembahyang dan mengembumi mengikut Islam, dan segala keperluan pengurusan jenazah di bawa dari syurga.

35. Ada meriwayatkan Nabi Adam as dikebumikan di tanah pertama mereka menjejaki bumi, iaitu India. Kemudian ketika banjir besar semasa zaman Nabi Nuh, jasad Nabi Adam as dan Hawa dipindahkan ke Baitul Maqdis.

36. Ada meriwayatkan menyatakan makam baginda mengunjur dari Baitul Haram (bahagian kepala) sehingga Baitul Muqaddis (bahagian kaki). Wallahu a'lam

37. Ada meriwayatkan Hawa menyusul selepas setahun Nabi Adam as wafat.

38. Diriwayatkan setiap anak cucu Adam, riwayat umurnya telah tertulis di antara jarak kedua matanya. Wallahuallam.

39. Turunnya Nabi Adam as bersama Islam sebagai agama. Iaitu Tauhid.


Ini hanyalah hasil sintesis yang terlalu sedikit. Wallahu a'lam. Semoga mendapat sesuatu dari ini, supaya kita memikirkan siapakah asal-usul kita, yang merupakan makhluk yang hina, terburu-buru dan sentiasa melakukan kesalahan. Maka hidup manusia seharusnya dimulakan dengan merenung diri, sentiasa memohon taubat dan sentiasa bersyukur kerana segalanya Tuhan saja Yang Maha Mengetahui.

test

test