Penciptaan Adam diriwayatkan sebagai satu daripada ciptaan Allah yang paling kontroversi atau paling disebut-sebut oleh makhluk Allah yang lain. Peristiwa tersebut disebut dalam al-Qur'an apabila para malaikat mempersoalkan kejadian (manusia) sebagai khalifah atau pengganti di bumi.
"Ketika Allah berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (2: 30)
Ciptaan dari tanah
Allah telah memerintahkan Malaikat Jibril turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah sebagai bahan untuk menjadikan Adam. Walau bagaimanapun, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil malah bersumpah dengan nama Allah yang dia tidak rela untuk menyerahkannya kerana kebimbangannya seperti yang dibimbangkan oleh para malaikat.
Jibril kembali setelah mendengar sumpah tersebut lalu Allah mengutuskan pula Malaikat Mikail dan kemudiannya Malaikat Israfil tetapi kedua-duanya juga tidak berdaya hendak berbuat apa-apa akibat sumpah yang dibuat oleh bumi. Maka, Allah memerintahkan Malaikat Izrail untuk melakukan tugas tersebut dan menggesa agar tidak berundur walaupun bumi bersumpah kerana tugas tersebut dijalankan atas perintah dan nama Tuhan.
Maka, Izrail turun ke bumi dan mengatakan yang kedatangannya adalah atas perintah Allah dan memberi amaran kepada bumi untuk tidak membantah yang memungkinkan bumi menderhaka kepada Allah. Menurut Ibnu Abbas, tanah bumi dan syurga digunakan untuk dijadikan bahan mencipta Adam. Tanah tersebut adalah:
* Tanah Baitulmuqaddis - kepala sebagai tempat kemuliaan untuk diletakkan otak dan akal.
* Tanah Bukit Tursina (Mesir) - telinga sebagai tempat mendengar dan menerima nasihat.
* Tanah Iraq - dahi sebagai tempat sujud kepada Allah.
* Tanah Aden (Yaman) - muka sebagai temat berhias dan kecantikan.
* Tanah telaga Al-Kautsar - mata sebagai tempat menarik perhatian.
* Tanah Al-Kautsar - gigi sebagai tempat memanis-manis.
* Tanah Kaabah(Makkah) - tangan kanan sebagai tempat mencari nafkah dan bekerjasama.
* Tanah Paris (Perancis) - tangan kiri sebagai anggota untuk melakukan istinjak.
* Tanah Khurasan (Iran) - perut sebagai tempat berlapar.
* Tanah Babylon (Iraq) - kelamin sebagai organ seks dan tempat bernafsu serta godaan syaitan.
* Tanah Tursina (Mesir) - tulang sebagai peneguh manusia.
* Tanah India - kaki sebagai anggota berdiri dan berjalan.
* Tanah Firdaus (Syurga) - hati sebagai tempat keyakinan, keimanan, dan kemahuan.
* Tanah Taif (Arab Saudi) - lidah sebagai tempat untuk mengucapkan syahadah, syukur dan doa.
Penyempurnaan
Tubuh Adam mempunyai sembilan rongga atau liang. Tujuh liang di kepala dan dua di bawah badan iaitu dua mata, dua telinga, dua hidung, satu mulut, satu dubur dan satu uretra. Lima pancaindera dilengkapkan dengan anggota tertentu seperti mata untuk penglihatan, telinga untuk pendengaran, hidung untuk pengesanan bauan, lidah untuk perasa seperti masam, masin, manis dan pahit dan kulit untuk sentuhan bagi panas, sejuk, tekanan, kelikatan dan sakit.
Ketika Allah menjadikan tubuh Adam, tanah dicampurkan dengan air tawar, masin dan hanyir beserta api dan angin. Kemudian Allah resapkan Nur ke dalam tubuh Adam dengan pelbagai "sifat". Lalu tubuh Adam digenggam dengan genggaman Jabarut dan diletakkan di dalam Alam Malakut. Tanah itu dicampurkan lagi dengan istilah wangian dan ramuan dari Nur-Sifat Allah dan dirasmi dengan "Bahrul Uluhiyah". Kemudian, tubuh tersebut dibenam dalam "Kudral 'Izzah" iaitu sifat "Jalan dan Jammal" lalu disempurnakan tubuh tersebut.
Waktu kejadian manusia tidak disebut berapa lama walaupun melalui apa cara perhitungan sekalipun seperti dalam al-Quran: "Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut..." (76:1)
Menurut keterangan ulama, tubuh Adam diselubungi dalam tempoh 120 tahun, 40 tahun di tanah yang kering, 40 tahun di tanah yang basah dan 40 tahun di tanah yang hitam dan berbau. Dari situ, Allah ubah tubuh Adam dengan rupa kemuliaan dan tertutuplah dari rupa hakikatnya. Kerana proses kejadian itu yang melalui peringkat yang "kotor", tidak hairan Malaikat dan Iblis memandang rendah akan kejadian manusia yang dicipta dari tanah.
Kemasukan roh.
Roh diperintah Allah untuk memasuki jasad Adam tetapi seperti makhluk lain, roh juga enggan, malas dan segan kerana jasad yang seperti batu. Dikatakan ruh berlegar-legar mengelilingi jasad Adam sambil disaksikan malaikat. Kemudian, Allah memerintahkan Malaikat Izrail memaksa ruh memassuki tubuh tersebut masuk ke dalam tubuh Adam. Ia memasukkannya ke dalam tubuh dan roh secara perlahan-lahan masuk hingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun. Setelah meresapi ke kepala Adam, maka berfungsilah otak dan tersusunlah urat saraf dengan sempurna. Lalu, terjadilah mata dan terus terbuka melihat tubuhnya yang masih keras dan malaikat di sekelilingnya. Telinga mulai berfungsi dan didengarnya kalimah tasbih para malaikat. Apabila roh tiba ke hidung, lalu ia bersin dan mulutnya juga terbuka. Allah mengajarkan kalimah "Alhamdulillah" yang merupakan kalimah pertama diucapkan Adam dan Allah sendiri yang membalasnya.
Kemudian, roh tiba ke dadanya lalu Adam berkeinginan untuk bangun padahal tubuhnya yang bawah masih keras membatu. Ketika itu ditunjukkan sifat manusia yang terburu-buru. Ketika roh sampai di perut, maka organ dalam dan perut tersusun sempurna dan saat itu Adam mula merasakan lapar. Akhirnya, roh meresap ke seluruh tubuh Adam, tangan dan kaki dan berfungsilah dengan sempurna segala darah daging, tulang, urat saraf dan kulit. Menurut riwayat, kulit Adam amat baik ketika itu berbanding kulit manusia di kini dan warnanya masih dapat dilihat di kuku sebagai peringatan kepada keturunan manusia.
Dengan itu, sempurnalah sudah kejadian manusia pertama dan Adam digelar sebagai "Abul Basyar" iaitu Bapa Manusia. Walau bagaimanapun, hanya Nabi Muhammad s.a.w. mendapat gelaran "Abul Ruh" atau "Abul Arwah" iaitu Bapa segala Roh.
Ciri atau berkaitan pada Nabi Adam, bapa seluruh manusia
1. Rasul Pertama di muka bumi kepada semua umat manusia.
2. Hamba terakhir dicipta olehNYA selepas Malaikat dan Jin (Jarak ciptaan antara manusia pertama dengan jin sela masa 1000 tahun).
3. Penciptaan Adam sebagai khalifah di muka bumi bagi menggantikan Jin yang memusnahkan bumi sebelum ciptaan Adam.
4. Bapa segala manusia dengan gelaran Abu Muhammad diakhirat nanti.
5. Dicipta secara lansung dari tangan Allah SWT, diberi roh dari sebahagian roh-NYA. (amaran : tangan Allah SWT tidak boleh disamakan dengan tangan manusia, kerana sifat Allah SWT bersifat majazi).
6. Dicipta selama 40 tahun dihitung sejak hari Jumaat. Ada riwayat menyatakan diciptakan di akhir waktu hari Jumaat. Sebelum ditiupkan roh, Adam dibiarkan dalam rupa tanah lumpur selama 40 tahun. Wallahu a'lam.
7. Dicipta dari segala jenis unsur tanah dan dibasahi sehingga menjadi lumpur. Izrail ditanggungjawabkan mengambil tanah yang berwarna putih, merah dan hitam di muka bumi dan membasahinya menjadi lumpur selepas Mikail meminta perlindungan dari Allah SWT.
8. Jasad Nabi Adam as yang sempurna, diumpamakan seperti tembikar atau berongga. Ini kerana Iblis memukul jasad Adam yang sempurna sebelum ditiup roh, berbunyi kosong. Boleh diumpamakan jika kita jatuh akan berbunyi 'erk' atau bunyi-bunyi kesesuaian masing-masing.
9. Roh Nabi Adam as ditiup dari kepala, kemudian bersin.Adam dan Malaikat menyambut dengan 'Alhamdullilah'. Kemudian disambut oleh Allah SWT "Yarhamukallah" (semoga Allah melimpahkan rahmat kepadamu).
10. Roh terus melalui ke mata, kemudian melihat buah-buahan disyurga. Begitulah manusia yang suka melihat perkara-perkara yang cantik dan menyeronokkkan.
11. Roh memasuki ke rongga perut, merasa lapar. Begitulah manusia yang sentiasa lapar dan tidak pernah kenyang dengan nikmat dunia.
12. Sebelum roh sampai ke kedua kaki, mendadak bangun dan mencapai buah-buahan di syurga. Begitulah manusia yang suka tergesa-gesa dalam bertindak.
13.Sempurna roh, Nabi Adam as, perkataan pertama diajar ialah memberi salam kepada para malaikat yang sedang sujud kepadanya. Salam baginda disambut "Wa'alaikassalaam wa rahmatullahi wa barakaatuh".
14. Diajar semua perkara yang meliputi perkara-perkara yang besar sehingga perkara-perkara yang seni dan halus. Kesimpulan segala perkara yang meliputi 99 zat Allah SWT.
15. Manusia pertama dan keturunannya terjamin sebagai makhluk tertinggi darjatnya di sisi Allah SWT sehingga kiamat selagi beriman kepadaNYA. Malaikat akan terus tunduk sehingga kiamat.
16. Bahu kanan Nabi Adam as ditepuk oleh Allah SWT dan keluarlah anak cucunya berkulit putih umpama butiran mutiara (golongan syurga). Bahu kiri Adam ditepuk oleh Allah SWT dan keluarlah anak-cucunya yang berkulit hitam seperti arang (golongan neraka.) Wallahu a'lam.
17. Nabi Adam as memohon anak cucunya disama ratakan kejadiannya dan tiada cacat cela dan kekayaannya. Allah SWT berfirman, "Aku suka sekali kalau mereka bersyukur."
18. Manusia pertama yang dibenci oleh Iblis Laknatullah. Iblis makhluk pertama yang menggunakan teori logik perbandingan, ketika enggan sujud kepada Adam as kerana kelebihannya dari api.
19. Selepas sempurna penciptaannya diarahkan memasuki dan mendiami syurga selama 100 tahun, ada riwayat yang menyatakan selama 60 tahun. Wallahu a'lam.
20. Di syurga, Nabi Adam as suka berjalan bersendirian, kemudian diciptakan Hawa dari rusuk kanan ketika Nabi Adam as sedang tidur. Maka wanita mempunyai kedudukan tinggi yang perlu mendampingi lelaki dengan pemikiran-pemikiran yang benar dan sihat. Kerana Hawa diciptakan Adam as ketika waktu tidur, makanya, adalah amat wajib setiap suami dan isteri bermesra dan menghasilkan keturunan pada waktu sebelum tidur. Kerana Hawa dicipta dari rusuk kanan yang bengkok, maka setiap suami wajib menerima kekurangan pada isteri (wanita) dan cuba meluruskan semampu mungkin (mengimankannya) bukan mematahkannya (perceraian dan penghinaan).
21. Disyurga, Hawa terpedaya dengan hasutan Iblis yang menyerupai ular yang begitu cantik, kemudian Hawa mengajak Adam memakan buah tin (pohon larangan). Makanya kaum wanita perlu bimbingan kaum lelaki. Manakala kaum lelaki perlu beriman terlebih dahulu sebelum membimbing wanita. Saling lengkap-melengkapi antara Adam dan Hawa.
22. Larangan telah dilakukan, terlucut segala busana syurga yang dipakai oleh Adam dan Hawa, ada riwayat Adam menangisi kekesalannya di syurga selama 70 tahun sebelum diarahkan turun ke bumi. Wallahu a'lam.
23. Aurat Nabi Adam as dan Hawa yang telah terbuka, ada riwayat menyatakan hanya ditutupi daun-daun syurga dan riwayat lain ditutup dengan cahaya. Wallahu a'lam.
24. Nabi Adam as diarahkan turun ke bumi pada hari Jumaat. Tanah pertama yang dipijak oleh Adam as di muka bumi adalah tanah yang bernama duhna yang terletak di antara Mekah dan Thaif.
25. Ada riwayat menyatakan Nabi Adam as diturunkan di tanah India, Hawa di Jeddah, Iblis yang menghasut di Dustimyan (beberapa batu dari Basrah), dan ular yang menggoda Hawa di Ashbihan ( Afghanistan ).
26. Ada riwayat menyatakan Nabi Adam as diturunkan di Safa dan Hawa di Marwah. Ada riwayat menyatakan Adam turun bersama Hajar al-Aswad dan dedaunan syurga dan ditaburkan di tanah India .
27. Nabi Adam as turun ke bumi dibekali dengan kemahiran-kemahiran dan buah-buahan dari syurga. Diriwayatkan buah-buahan di bumi adalah berasal dari syurga cuma kelazatannya berkurangan dari yang asalnya.
28. Nabi Adam as juga turun bersama bijiran gandum, sebagai makanan utama. Jibril mengajar Adam as menanam, menuai, digiling, dimasak dan diadun.
29. Manusia paling tampan di dunia sehingga kiamat. Disahkan oleh hadis Rasullah SAW, ketampanan Nabi Yusuf as adalah separuh ketamapanan Nabi Adam as.
30. Manusia paling tinggi di dunia sehingga kiamat, diriwayatkan setinggi 60 hasta dan kelebaran badannga 7 hasta. Disahkan tiada lagi manusia yang akan melebihi ketinggian Nabi Adam AS sehingga kiamat kecuali Iblis.
31. Manusia pertama yang menggunakan bulu biri-biri sebagai pakaian.
32. Nabi Adam as wafat ketika berumur 1000 tahun. Wallahu a'lam.
33. Bapa pertama yang menangisi kematian anaknya (tragedi Qabil dan Habil) , diriwayatkan selama 40 tahun kehibaannya.
34. Malaikat mengajar anak cucu Adam menguruskan jenazah melalui peristiwa kewafatan Nabi Adam as dari memandikan, mengkafani, menyembahyang dan mengembumi mengikut Islam, dan segala keperluan pengurusan jenazah di bawa dari syurga.
35. Ada meriwayatkan Nabi Adam as dikebumikan di tanah pertama mereka menjejaki bumi, iaitu India . Kemudian ketika banjir besar semasa zaman Nabi Nuh, jasad Nabi Adam as dan Hawa dipindahkan ke Baitul Maqdis.
36. Ada meriwayatkan menyatakan makam baginda mengunjur dari Baitul Haram (bahagian kepala) sehingga Baitul Muqaddis (bahagian kaki). Wallahu a'lam
37. Ada meriwayatkan Hawa menyusul selepas setahun Nabi Adam as wafat.
38. Diriwayatkan setiap anak cucu Adam, riwayat umurnya telah tertulis di antara jarak kedua matanya. Wallahuallam.
39. Turunnya Nabi Adam as bersama Islam sebagai agama. Iaitu Tauhid.
Ini hanyalah hasil sintesis yang terlalu sedikit. Wallahu a'lam. Semoga mendapat sesuatu dari ini, supaya kita memikirkan siapakah asal-usul kita, yang merupakan makhluk yang hina, terburu-buru dan sentiasa melakukan kesalahan. Maka hidup manusia seharusnya dimulakan dengan merenung diri, sentiasa memohon taubat dan sentiasa bersyukur kerana segalanya Tuhan saja Yang Maha Mengetahui.
Aku adalah keturunannya..
BalasPadam