Sabtu, 9 Oktober 2010

Cinta Allah


Firman Allah di dalam surah Fusshilat ayat 31 yang bermaksud, "Kamilah penolong kamu dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan kamu akan beroleh apa yang kamu inginkan, serta kamu akan dapat apa yang kamu minta.”

Tanda-tanda orang yang mencintai Allah taala ialah, lidahnya sentiasa basah dengan istighfar dan taubat. Kalimah istighfar dan taubat yang kerap diucapkan ialah, “Astaghfiruka wa atubu ilaika,” yang bermaksud, “Aku memohon keampunan daripada-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.” Istighfar dan taubat adalah amalan harian para nabi dan rasul, ianya juga merupakan antara sebab terpenting dirurunkan rezeki. Oleh itu istighfar dan taubat hendaklah dijadikan amalan harian kerana ianya bakal menambah kekuatan iman, di samping iman yang sedia ada.

Sebahagian orang menyangka bahawa istighfar dan taubat cukup dengan hanya mengucapkan kata-kata lisan semata-mata. Sehingga ramai yang beristighfar dan bertaubat, tetapi tabiat mereka masih lagi kekal dengan tabiat lama. Mereka menyebut, “Aku memohon keampunan-Mu ya Allah dan bertaubat kepada-Mu,” tetapi kalimah ini tidak membekas sedikit pun di dalam hatinya, juga tidak memberi pengaruh pada perbuatan anggota badan. Sesungguhnya, istighfar dan taubat jenis ini adalah perbuatan orang yang berdusta.

Para alim telah menjelaskan hakikat istighfar dan taubat;

1. Imam al-Raghib al-Asfahani r.h. menerangkan, “Dalam istilah syarak, taubat adalah meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali dosa yang telah dilakukan, berkeinginan kuat untuk tidak mengulangi dan berusaha melakukan apa yang boleh diulangi (diganti). Jika kempat-empat ini telah dipenuhi, bererti syarat taubatnya telah sempurna.”

2. Imam Nawawi r.h. menghuraikan, “Ulamak menyebutkan bahawa bertaubat daripada setiap dosa adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah, yang tiada kaitannya dengan manusia, maka syaratnya ada tiga. Pertama, hendaklah dia menjauhi maksiat tersebut. Kedua, harus menyesali dosanya. Ketiga, harus berkeinginan untuk tidak mengulanginya kembali. Jika salah satu syarat ini gugur, maka taubatnya tidak sah. Ada pun jika taubatnya itu berkaitan dengan manusia, maka syaratnya ada empat. Yakni ketiga-tiga syarat yang sudah tersebut di atas dan ditambah dengan yang keempat pula, iaitu hendaklah dia memenuhi hak-hak manusia itu. Jika berbentuk harta benda atau seumpamanya, maka harus mengembalikannya. Jika berupa tuduhan atau seumpamanya, maka haruslah memberinya kesempatan untuk membalasnya atau meminta maaf kepadanya. Adapun sekiranya berupa ghibah, maka harus meminta maaf. "

Adapun istighfar, sebagaimana yang diterangkan oleh Imam al-Raghib r.h., “Meminta keampunan dengan ucapan dan perbuatan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Nuh ayat 10, “Mohonlah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.” Tidaklah bererti bahawa mereka diperintahkan meminta ampun hanya dengan lisan dan perbuatan, kerana sesungguhnya memohon keampunan (istighfar) hanya dengan lisan semata-mata tanpa disertai perbuatan, adalah perbuatan para pendusta.”

Di antara kesan dan tanda orang yang beristighfar dan bertaubat ialah bertambah sifat takwanya kepada Allah taala, dan timbulnya rasa cinta kepada-Nya. Takwa juga merupakan salah satu sifat orang mukmin, yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t.. Ulamak telah menjelaskan dengan terperinci tentang pengertian takwa. Huraian mereka cukup bernas dan sewajarnya dijadikan pedoman. Antaranya, Imam al-Raghib r.h. mengatakan, “Takwa itu menjaga jiwa daripada perbuatan yang membuatkannya berdosa dan ianya dengan meninggalkan apa yang dilarang.”

Imam Nawawi pula mengertikan takwa dengan, “Mentaati perintah dan larangan-Nya,” bermaksud, menjaga diri daripada kemurkaan dan azab Allah taala. Imam Jurjani r.h. berkata, “Takwa iaitu menjaga diri dari pekerjaan yang mengakibatkannya diseksa, baik dengan melakukan perbuatan atau meninggalkannya.”

Oleh itu, sesiapa sahaja yang tidak menjaga dirinya dari perbuatan dosa, bererti dia bukanlah orang yang bertakwa. Maka barangsiapa yang melihat dengan kedua matanya apa yang diharamkan Allah, mendengar dengan kedua telinganya apa yang diharamkan Allah, mengambil sesuatu dengan kedua tangannya apa yang tidak diredai Allah, berjalan ke tempat yang dikutuk Allah taala, bererti dia tidak menjaga dirinya dari perbuatan dosa.

Jadi, orang yang membangkang perintah Allah taala serta melakukan apa yang dilarang-Nya, dia bukanlah termasuk dalam kategori orang bertakwa. Orang yang menceburkan dirinya ke lembah maksiat sehingga dia layak mendapat murka dan seksa daripada Allah, maka dia telah mengeluarkan dirinya dari barisan orang yang bertakwa.

Di antara kesan dan tanda orang yang beristighfar dan bertaubat ialah bertambah sifat tawakalnya kepada Allah ‘azzawajalla, dan bertambah-tambah pula cintanya kepada Allah jallawa‘ala. Bertawakal dalam erti memasrahkan diri hanya kepada Allah dengan berusaha sedaya upaya sebagai suatu ikhtiar. Ulamak telah menjelaskan makna tawakal dengan huraian yang bernas, antaranya ialah Imam al-Ghazali r.h., “Tawakal adalah penyandaran hati hanya kepada al-Wakil semata-mata, iaitu Allah s.w.t.”.
Berkata al-‘Alamah al-Manawi r.h., “Tawakal adalah menampakkan kelemahan serta penyandaran (diri) kepada yang ditawakkali.” Menjelaskan makna tawakal kepada Allah taala dengan sebenar-benar tawakal, al-Mulla Ali al-Qari menyebut, “Hendaklah kamu mengetahui secara yakin, bahawa tidak ada perbuatan dalam alam ini kecuali Allah, dan setiap yang ada samada makhluk mahupun rezeki, pemberian atau larangan, bahaya atau menfaat, kemiskinan atau kekayaan, sakit atau sihat, hidup atau mati, dan segala sesuatu yang disebut sebagai sesuatu yang maujud (ada), semuanya ini adalah daripada Allah s.w.t.”. Ertinya, kita wajib meyakini bahawa segala sesuatu itu bersumber daripada Allah semata-mata, sehingga kita menyandarkan hidup ini semata-mata kepada Allah taala.

Firman Allah, “Gementar kerananya kulit orang yang takut kepada tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk daripada Allah yang ditunjukinya sesiapa yang dia kehendaki. Barangsiapa yang disesatkan Allah maka tidak ada baginya petunjuk,” surah az-Zumar ayat 23.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

test

test